Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Thursday, February 25, 2010

Perlu mekanisme pembangunan Kampung Baru elak perpindahan skala besar

Perpindahan penduduk buat sementara waktu bagi membolehkan kerja pembangunan dijalankan itulah yang sukar diterima penduduk Kampung Baru.

Memang tidak dinafikan perpindahan terpaksa berlaku tetapi ia bukan pada skala yang besar bagi keseluruhan penduduk Kampung Baru.

Oleh kerana itu kerajaan perlu ada satu mekanisme bagi memastikan tidak berlaku perpindahan keseluruhan penduduk Kampung Baru.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini berjanji pembangunan Kampung Baru tidak akan memindahkan penduduk kampung itu serta kebajikan mereka akan terpelihara, semasa membuat lawatan ke kampung tersebut.

Kalau kerajaan boleh mengwujudkan zon pembangunan kepada kampung disebelah Setapak, Sentul dan Gombak, kenapa ia tidak boleh dibahagikan kepada beberapa bahagian pembangunan di Kampung Baru?

Kampung Padang Balang, Kampung Bandar Dalam dan kampung Sungai Mulia di Gombak dilaporkan akan dibangunkan mengikut zon bagi mengelak pemgambilan tanah penduduk.

Begitu juga bagi Kampung Chubadak dan Kampung Puah Seberang di Sentul serta Kampung Sungai Murali di Setapak.

Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata demikian ketika menggulung perbahasan dan memberi jawapan kepada perkara yang dibangkitkan Ahli Parlimen Batu, Chua Tian Chang (Tian Chua) dan Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong pada sidang Dewan Rakyat, 7 Disember lalu.

Menurut Raja Nong, pelan struktur Dewan Bandaraya Kuala Lumpur 2020 (Draf Pelan DBKL 2020) telah mengenal pasti kampung tradisi tersebut sebagai kawasan khusus dan akan dibangunkan mengikut penyusunan semula serta infrastruktur dan kemudahan untuk masyarakat.

Selaras itu kata beliau, Draf Pelan DBKL 2020 mencadangkan pengezonan semula kampung tradisi sebagai zon kediaman kepadatan dan meningkatkan potensi nilai ekonomi tanah.

Tambah beliau, pengezonan itu tidak melibatkan pengambilan tanah walaupun digunakan untuk awam dan infrastruktur dan ia terpulang kepada pemilik tanah sendiri untuk membangunkan lot mereka mengikut zon yang dicadangkan pelan tersebut.

"Kita bagi ruang untuk mereka bila kita mengeluarkan draf pelan ini, supaya kalau mereka hendak bangunkan, mereka ada ruang untuk membangunkan. Akan tetapi, soal pihak kerajaan ataupun DBKL mengambil tanah dengan paksa, tidak timbul langsung," ujar Raja Nong.

Sebaliknya dalam kenyataan beliau mengenai pembangunan Kampung Baru, ia menjadi kerisauan kembali kepada penduduk kampung tradisi.

Raja Nong dilaporkan Bernama berkata: “Tapi kalau ada yang masih menahan, kita terpaksa cari kaedah undang-undang dan sebagainya.”

Ia seolah-olah membuat satu paksaan atau ugutan awal kepada penduduk Kampung Baru jika enggan setuju dengan pembangunan kampung itu.

Raja Nong berkata kerajaan mungkin mengkaji satu undang-undang mengikut majoriti, iaitu jika 80 peratus penduduk di sesuatu kawasan bersetuju dengan projek pembangunan, maka 20 peratus lagi terpaksa menurut atau akur dengan keputusan membangunkan kawasan itu.

“Kita sedang kaji undang-undang itu bukan hanya untuk pembangunan di Kampung Baru, malah di kawasan lain yang juga tertahan pembangunannya,” kata beliau dalam rancangan bual bicara Soal Jawab yang disiarkan TV3 malam tadi.

Dalam laporan sama Raja Nong Chik berkata jika cadangan pembangunan semula Kampung Baru itu terlaksana, pemindahan sementara sebahagian penduduknya mungkin akan dilakukan.

"Mereka mungkin terpaksa dipindahkan buat sementara waktu bagi membolehkan kerja pembangunan Kampung Baru dijalankan dan kajian berhubung perkara itu sedang dilakukan," katanya.

Bagaimanapun sebelum ini, Najib dilaporkan berjanji penduduk Kampung Baru tidak akan dipindahkan dan kebajikan mereka akan terpelihara.

Kenyataan yang tidak selari ini amat membimbangkan penduduk. Apalagi kerajaan mempunyai tred rekod pengambilan tanah secara paksa yang amat buruk semata-mata membangunkan Kuala Lumpur malah melanggarkan perjanjian Ganeva dibawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Kekenduran kerajaan dengan penduduk kampung sejak akhir ini dilihat setelah pakatan rakyat (PR) menguasai kesemua kerusi parlimen di Wilayah Persekutuan.

Malah sejarah juga menyaksikan Kuala Lumpur sebelum dikuasai PR, ahli parlimen daripada Umno, Gerakan dan MCA lebih terkenal sebagai wakil pemaju kerana mereka tidak membela rakyat dalam pengambilan tanah secara paksa keatas penduduk.

Ketika itu sering dilihat di televisyen dan media, rumah penduduk diroboh secara paksa dengan kawalan Polis Persekutuan (FRU).

Apakah fobia penduduk kampung mengenai pembangunan dan truma jentera jengkaut dengan kawalan polis yang siap sedia menangkap penduduk menghalang perobohan rumah akan berterusan?

Namun begitu ada kesan yang baik sekurang-kurangnya kepada penduduk kampung setelah kemenangan PR, apabila mereka dibela oleh wakil rakyat mereka sempena dengan perubahan rakyat yang mahukan politik baru.

Kemenangan PR bukan menyekat pembangunan tetapi biarlah penduduk yang sudah lama tinggal dan meneroka tanah bandar dengan keizinan kerajaan Perikatan ketika itu turut diberi hak menikmati pembangunan, bukan dihalau begitu sahaja umpama anjing kurap.

Ketika kerajaan memerlukan tenaga penduduk kampung untuk membangunkan negara mereka ditatang dengan penuh hormat tetapi apabila tidak diperlukan mereka dihalau seolah tidak ada langsung jasa mereka kepada negara.

Apa yang menyedihkan lagi ialah penduduk kampung yang sangat setia dengan Umno sering dijanjikan untuk diberi geran milik tanah yang diteroka tetapi sehingga sekarang tidak pernah tertunai. Umno jadikan janji geran milik tanah sebagai senjata setiap kali menjelang pilihan raya.

Oleh yang demikian pengalaman dan sejarah itu, maka sukar untuk penduduk Kampung Baru menerima bulat-bulat kenyataan menteri selagi kerajaan tidak mendedahkan pelan dan perancangan pembangunan kepada penduduk.

Dalam ucapan penggulungan yang sama di parlimen, Raja Nong Chik sempat mengeluarkan perkataan menghina penduduk kampung tradisi iaitu mengatakan masyarakat sedia ada yang usang.

Amat menghinakan terpancul daripada mulut menteri yang dikatakan mahu membangunkan orang Melayu dan kampung tradisi serta Kampung Baru. Apa yang menyedihkan tiada seorang ahli parlimen Melayu yang membantah ucapan beliau itu.

Mungkin kerana pengalaman itu dan yang lalu maka perpindahan penduduk keluar dari Kampung Baru untuk membangunkan kampung itu amat sukar diterima. Oleh yang demikian kerajaan perlu terlebih dahulu membangunkan pelan penempatan penduduk sama ada kondominium atau apartment di Kampung Baru.

Pembangunan perumahan itu hanya melibatkan beberapa bahagian pembangunan di Kampung Baru. Jika ini diberi keutamaan diusahakan terlebih dahulu maka perpindahan penduduk Kampung Baru pada skala besar dapat dikurangkan.

Apabila projek perumahan Kampung Baru siap maka ia boleh digunakan sebagai tempat pemindahan sementara disamping menempatkan kembali penduduk Kampung Baru yang dipindahkan ke tempat lain semasa projek perumahan dibangunkan.

Hanya niat suci bersih menteri mampu melunakkan penduduk Kampung Baru. Jika sebaliknya kerajaan ada motif mengambil kesempatan diatas penduduk Kampung Baru maka kemungkinan politik Melayu sendiri akan menjadi tsunami pada pilihan raya umum akan datang setelah bangsa lain membuat perubahan pada pilihan raya umum lepas.

Read More...

Monday, February 22, 2010

MP Australia jawab tuduhan Abdul Hadi campur tangan

Anas ra, berkata, Rasulullah saw bersabda: "Berikanlah pertolongan saudara mu itu, baik ia sebagai orang melakukan kezaliman atau sebagai orang yang dizalimi."

Para sahabat bertanya: "Apabila ia tergolongan orang yang dianiaya, kita lalu menolongnya, maka hal ini telah kita maklumi tetapi bagaimanakah kita akan memberi pertolongan kepada saudara yang justeru sebagai orang yang menganiaya?"

Nabi saw bersabda: "Kita ambil diatas kedua tangannya" (Kata ini adalah suatu kiasan yang maksudnya: Kita wajib melarang ia untuk meneruskan kezalimannya dengan perbuatan, apabila tidak dapat berbuat demikian cegahlah kezalimannya dengan ucapan atau nasihat yang baik dan jika cara ini pun tidak kita lakukan, maka sebaiknya kita melaporkannya kepada yang berautoriti menyelesaikan persoalan itu)

Jika diamati hadis sahih Bhukari dalam bab memberi pertolongan kepada orang yang melakukan kezaliman dan orang yang dizalimi, maka ada sandaran yang benar protes 50 ahli parlimen (MP) Australia desak kerajaan Malaysia gugurkan dakwaan liwat keatas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang selalu menyebut hadis ini dalam ceramah beliau tetapi kenapa protes MP Australia sebagai sikap beliau menegur kerajaan Malaysia tidak dipersetujui Abdul Hadi.

Dalam kenyataan terbaru MP dan Senator negara itu mendesak agar kes liwat kedua Anwar digugurkan atas semangat Malaysia sebagai “rakan dan negara jiran” seolah menjawab kenyataan Abdul Hadi sebelum ini.

Seolah ada penghayatan MP Australia terhadap hadis diatas tadi. Soal MP itu bukan Islam. Itu perkara lain kerana kita hendaklah memegang konsep Islam untuk sekelian alam.

Lagipun sama ada demontrasi atau bantahan MP Australia sekalipun ia bukan menceroboh kedaulatan negara.

Kita pun berdemontrasi dan membantah negara yang melakukan kezaliman keatas rakyatnya dan rakyat negara jirannya seperti demontrasi membantah tindakan Mesir tidak membuka laluan kepada konvoi untuk selamatkan Palestin.

Memang kita akui PAS ada prinsip tidak boleh campur tangan tentang kedaulatan negara. Seperti pencerobohan Amerika keatas Iraq dan Afghanistan. PAS tetap dengan pendiriannya membantah pencerobohan tersebut.

PAS juga berperinsip bahawa Amerika tidak boleh campur tangan di Iran kerana ia mendedahkan kekuatan keselamatan negara itu dan akhirnya boleh mengancam nyawa rakyatnya serta penjajahan keatas Iran boleh berlaku.

Dalam soal ini PAS adalah benar dan bersedia bersama dengan pihak lain untuk keamanan dunia terutama daripada kuasa besar yang sentiasa mengintai peluang menakluki negara lemah.

Bagaimanapun dalam soal bantahan 50 MP Australia itu, ia bukanlah ancaman malah nasihat mereka sebagai kawan.

Sebab itu Abdul Hadi kena betulkan statement beliau yang menyebut tidak setuju MP Australia campur tangan kes liwat Anwar.

Berikut laporan Malaysian Insider:

Danby: ‘MP Australia protes kerana Malaysia rakan dan jiran’

KUALA LUMPUR, Feb 22 — Pengerusi jawatankuasa kecil hal ehwal luar Parlimen Australia, Michael Danby menjelaskan, ahli-ahli Parlimen dan Senator negara itu mendesak agar kes liwat kedua Datuk Seri Anwar Ibrahim digugurkan atas semangat Malaysia sebagai “rakan dan negara jiran.”

Kata beliau seramai 60 Ahli Parlimen dan Senator dari parti Buruh, Liberal, Green dan bebas menandatangani surat yang diserahkan kepada Pesuruhjaya Tinggi Malaysia kerana prihatin dengan perkembangan di Malaysia selaku rakan dan negara jiran yang amalkan prinsip demokrasi.

“Mengapa Ahli Parlimen Australia harus mengheret hidung mereka ke dalam hal ehwal sebuah negara seperti Malaysia, yang merupakan rakan dan negara jiran?

“Saya boleh berkata ia kerana Malaysia adalah rakan dan jiran yang kami ambil berat dengan apa yang berlaku di sana.

“Tidak ada sesiapa yang terkejut dengan perbicaraan dan pendakwaan politik di Korea Utara ataupun di Myanmar.

“Tetapi apabila ia berlaku di sebuah negara yang merupakan di negara yang berjaya di rantau kami, kami terperanjat,” katanya.

Surat ini ditandatangani antara lain oleh Laurie Ferguson, Malcolm Turnbull, Greg Hunt, Bob Brown, Nick Xenophon, Duncan Kerr, Deputy Speaker Anna Burke, Jennie George, Gary Gray dan Mark Dreyfus QC.

“Ia disusuli dengan ucapan yang saya berikan di Dewan Perwakilan pada 3 Feb, yang mana menarik perhatian Dewan Perwakilan berhubung perbicaraan kes liwat kedua Anwar Ibrahim di Kuala Lumpur.

“Saya terharu dengan langkah Ahli Parlimen dan Senator yang menandatangani surat ini. Saya tidak boleh ingat inisiatif sedemikian rupa dalam tempoh terdekat ini,” kata beliau dalam tulisannya di bawah tajuk “Why Australian MPs protested the Anwar trial”.

Kata beliau, memang ramai yang pernah bercakap mengenai nasib pejuang prodemokrasi Myanmar, Aung San Suu Kyi, tetapi ia menarik perhatian apabila berlaku di negara demokrasi seperti Malaysia membabitkan Anwar.

Pendakwaan ke atas Anwar tidak menyumbang kepada imej baik Malaysia kata beliau lagi.

Kata Danby, usaha berterusan parti pemerintah dengan mengenakan tuduhan palsu terhadap Anwar adalah sesuatu yang memalukan.

Rabu lalu, Pemuda BN menyerahkan memorandum bantahan terhadap tindakan ahli-ahli parlimen Australia didakwanya cuba campur tangan dalam hal ehwal sistem kehakiman negara ini.

Mereka menuntut agar Danby menarik balik surat yang dihantar oleh ahli Parlimen dan Senat negara itu kepada Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Australia serta menuntut permohonan maaf Danby bagi pihak mereka.

Memorandum itu juga menggesa Perdana Menteri Australia Kevin Rudd menyatakan dengan jelas pendirian kerajaan Australia tidak sama dengan pendirian wakil rakyat terbabit.

Read More...

Thursday, February 18, 2010

Guan Eng lebih reti Islam daripada pemimpin Umno

Perarakan sempena menyambut tarikh kelahiran Nabi saw bukan ibadah. Ia hanya amalan atau perbuatan harus. Persoalan sekarang Umno telah menjadikan umat Islam bercelaru mempertahankan amalan yang tidak pernah dibuat pada zaman Rasulullah saw sehingga rakyat menganggap perarakan Maulidur Rasul sebagai ibadah.

Dalam soal berselawat lain dengan perarakan. Ia adalah dua amalan atau perbuatan yang berbeza. Berselawat memang ada hadis yang menyuruh umatnya berselawat ke atas Nabi saw sebagaimana Allah SWT berselawat keatas Rasulnya.

Jika sekiranya amalan perarakan itu ibadah yang boleh mendatangkan pahala sudah tentu amalan dan perbuatan tersebut telah diamal atau dilakukan sejak zaman Nabi saw lagi. Ia akan diikuti oleh para sahabat. Maka ada nas atau hadis bagai membolehkan rakyat kemudian mengamalkan perbuatan itu dengan adanya dalil tersebut tetapi tiada seorang ulama pun menemui hadis perarakan Maulidur Rasul.

Ini bermakna sekiranya Umno tetap mahu buat perarakan, ia hanya amalan harus. Kes perbuatan harus seumpama ini tidak boleh kita bergaduh dan menegakkan pendapat aku yang betul. Malah Umno tidak boleh memaksa orang lain melakukan perarakan kerana ia tidak ada sandaran langsung.

Bertambah teruk lagi Umno telah mengelirukan umat Islam dan orang awam terutama orang Melayu sehingga ada yang sifatkan perarakan mesti dilakukan setiap kali sampai tarikh 12 Rabiul Awal. Kita bimbang iktikad seumpama ini batil dan sengaja mengada-adakan dalam agama.

Sambutan kelahiran Nabi saw tidak ada nas yang khusus kecuali riwayat Imam Muslim dan kaum muslimin bersepakat bahawa kelahiran Nabi Muhammad saw adalah pada hari Isnin di bulan Rabiul Awal. Ini berdasarkan hadis yang diriwayat Imam Muslim dari Abu Qatadah al Anshoriy bahawa Rasulullah saw ditanya tentang puasa hari Isnin maka beliau saw bersabda,”Hari itu aku dilahirkan dan di hari itulah diturunkan (al Qur’an).”

Ini cara orang Islam sambut kelahiran Nabi saw. Apa sandaran Umno sampai mahu bergaduh pasal perarakan. Tidak ada dalil langsung. Tak payah la bergaduh wahai Umno sampai menuduh Guan Eng benci Islam. Saya ingat Guan Eng lebih tahu Islam daripada Pak Lah atau pemimpin Umno lain kerana Guan Eng baca juga buku tentang Islam.

Kalau kita bergaduh dalam soal itu tidak molek sangat sebab kalangan ulama pun tidak bergaduh pasal menentukan tarikh yang tepat tentang kelahiran Nabi saw. Kebanyakkan kita ikut pendapat yang mereka juga menyebutkan bahawa inilah yang masyhur iaitu Ibnu Ishaq yang lebih memilih pendapat menyebut bahawa kelahiran Nabi saw adalah pada 12 Rabiul Awal di tahun gajah. Ibnu Abi Syaibah meriwayatkan hal ini dari Jabir, ibnu Abbas dan yang lainnya.

Sedangkan pendapat Syeikh Shafiyuurrahman al Mubarokhfury penulis kitab “ar Rahiq al Makhtum” yang memilih pendapat bahawa kelahiran Nabi saw adalah pada hari Isnin pada 9 Rabiul Awal pada permulaan tahun daripada peristiwa gajah yang bertepatan dengan 20 atau 22 April 571 M. Buku yang ditulis al Mubarokhfiury ini adalah pemenang pertama dalam pertandingan penulisan “Siroh Nabawiyah” yang diselenggarakan oleh Robithoh al Alam al Islamiy yang berpusat di Mekah pada tahun 1399 H / 1978 M.

Memang telah terjadi perbezaan pendapat di kalangan para ulama tentang tarikh kelahiran Nabi Muhammad saw. Diantara mereka ada yang berdasarkan pendapat daripada riwayat yang sampai kepada mereka dan ada juga yang berdasarkan kepada perhitungan falak.

Pendapat al- Mubarokhfury berdasarkan kepada hasil penelitian seorang ulama terkenal yang bernama, Muhammad Sulaiman al-Manshurfury dan pengkaji astronomi, Muhammad Basya.

Berikut laporan berkaitan daripada Harakah:

Pemimpin Umno jahil fadilat hayati perjuangan Rasulullah
Salmah Mat Hussin & Hafiz Irwan

KOTA BHARU, 17 Feb: Apakah pemimpin Umno masih enggan mengakui mereka jahil agama apabila gagal membezakan fadhilat perarakan Maulidur Rasul dengan program menghayati perjuangan Rasulullah s.a.w.

Menghayati perjuangan Rasulullah s.a.w. boleh dilakukan dengan pengkisahan kehidupan baginda melalui ceramah atau kuliah dari lahir sehingga wafat sedangkan perarakan Mualidur Rasul di atas jalan tidak mampu menghayati sirah perjuangan baginda dalam erti kata sebenar.

Namun hairannya, pemimpin Umno masih mempertahankan perbuatan tersebut yang dianggap sudah menjadi budaya dan tanpa mengira manfaatnya.

Tidak ramai sedar perarakan Mauludir Rasul sempena 12 Rabiul Awal kalendar hijrah tiada di Kelantan sejak 20 tahun lalu.

Majlis Maulidur Rasul hanya disambut di masjid-masjid atau surau dengan ceramah agama iaitu sendat dengan pengisian majlis ilmu.

Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika menjelaskan perkara itu berkata, umat Islam jangan sekali-kali terpengaruh dengan keadaan semasa kadang-kadang tidak serupa dengan kehendak agama.

“Sebagai contoh Maulidur Nabi Muhammad s.a.w. yang disambut secara besar-besaran khususnya di negeri-negeri lain sebenarnya tidak ada sebarang fadhilat, tidak sebagaimana bulan Ramadan.

“Bulan Ramadan memang ada fadhilat dan kelebihannya, tetapi bulan Maulud tidak ada apa,” ujarnya kepada pemberita di sini.

Ekoran itu, Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed menyifatkan kenyataan Tuan Guru Nik Abdul Aziz sebagai kompromi demi politik.

Menurutnya, tidak sewajarnya kenyataan sedemikian keluar daripada mulut seorang tokoh ulama.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang juga Mursyidul Am PAS berkata, mewujudkan suasana Islam dalam sebuah negara sebenarnya sudah dianggap maulud.

Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan, Ustaz Abdul Latif Abdul Rahman berkata, upacara perarakan yang diadakan ketika menyambut Maulidur Rasul bukan perkara wajib bahkan sebaliknya boleh menjurus kepada perbuatan bidaah.

“Tuduhan pentadbiran Lim Guan Eng sebagai anti-Islam itu saya tidak tahu, apa yang menarik di sebalik haru-biru di Pulau Pinang dalam persoalan ini ialah Umno seolah-olah dilihat cuba mengutamakan perarakan.

“Besarnya sambutan hari Maulidur Rasul bukan pada perarakan. Nabi s.a.w. sendiri tidak pernah menuntut umatnya supaya berbuat begitu,” katanya.

Menurutnya tiada sebarang manfaat upacara perarakan melainkan penghayatan di sebalik sejarah Maulidur Rasul menjadi tuntutan Islam.

“Malangnya Umno hanya asyik membesar-besarkan perarakan daripada penghayatan, ini menunjukkan betapa cetek fahaman Umno tentang ilmu agama,” katanya.

Read More...

Jaringan

  © Blogger template AutumnFall by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP